KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH
Dikeluarkan oleh: Jabatan Mufti Negeri Terengganu.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang.
Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, Selawat dan salam keatas
junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para
sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang
kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan
meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta
media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya
melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan
lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha
menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam
bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang
kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya
adalah seperti berikut : “Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa
Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang
tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama
seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala
malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat
sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya
Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih
pada malam ini.
·Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama
tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil,
semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam
kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi,
ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat)
sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini
merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis
dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan
wujudnya hadis ini.
Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya
didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan
berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan
amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak
akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini
juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara
dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang
yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat
sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku
maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori,
Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai
keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan
keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin
beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah
(targhib dan tarhib).
Untuk bacaan lanjut anda boleh layari di:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan